Showing posts with label seerah. Show all posts
Showing posts with label seerah. Show all posts

Friday, January 27, 2012

saudah binti zam'ah r.ha


SAUDAH BINTI ZAM’AH R.HA.
“Dinda hanya ingin dibangkitkan sebagai isterimu…”

Saudah binti Zam’ah, beliaulah insan yang menemani Rasulullah SAW di kamar selepas pemergian kekasih Baginda, Khadijah al-Khuwailid. Meskipun kedudukan dan ketinggian Khadijah di hati Nabi tak mampu ditandingi oleh sesiapapun, namun Saudah ternyata bertuah kerana menjadi salah seorang wanita pilihan Allah SWT untuk meneguk langsung cinta Nabi.

Beliau digambarkan seorang wanita yang tua, uzur dan gemuk ketika menjadi isteri Nabi. Namun, seunggul, sejelita dan seindah manapun wanita pada zaman ini tetap tak akan mampu menandingi walau secebis kemuliaan Saudah sebagai isteri Nabi. Bukankah jelas pernikahan Rasulullah ini kerana kepentingan agama, bukannya nafsu?!

Mari Berkenalan

Saudah binti Zam’ah bin Qais bin Abdu Syams bin Abdud berasal daripada suku Quraisy al-Amiriyah. Puteri kepada wanita bernama Syumush binti Qais bin Zaid bin Amr daripada Bani Najjar.
Pernah bersuamikan Sakran bin Amr, saudara Suhail bin Amr al-Amiri.

Golongan Paling Awal Menyahut Panggilan Fitrah

Ajaran Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan kebersihan hati tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang memiliki kualiti hati yang istimewa. Golongan yang awal memeluk Islam dimuliakan Allah dengan gelaran as-saabiquunal awwalun. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“orang-orang yang awal (masuk Islam) di antara Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda dengan mereka dan merekapun reda kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100).
Salah seorang daripada mereka ialah suami Saudah, Sakran bin Amr. Iman yang meresapi segenap jiwanya terasa indah. Beliau lantas memimpin isteri tercinta, Saudah binti Zam’ah untuk sama-sama hidup di bawah kemuliaan tauhid.

Menyaksikan Suami Disiksa

Pengaruh Islam semakin tersebar di Makkah. Ajaran Muhamad semakin berkesan di hati. Mengamuklah orang-orang kafir Quraisy. Golongan miskin dan lemah diseret dan disiksa tanpa belas kasihan.
Mengalir air mata Saudah tatkala melihat suaminya Sakran disentap, dipukul dan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Namun begitu, imannya tidak goyah. Dia tetap teguh ingin bersama agama Muhammad SAW.
Seperit mana kesedihan Saudah, perit lagi kesedihan Rasulullah SAW tatkala melihat umat yang dicintai menerima penyiksaan sezalim itu. Ketika itu baginda dilindungi oleh pengaruh bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya yang bangsawan, Khadijah. Islam yang masih dalam fasa kelemahan ketika itu tidak memampukan baginda untuk bangkit membela mereka yang teraniaya.
Rasulullah SAW akhirnya menyuruh sahabat-sahabat yang teraniaya agar berpindah ke Habsyah dan minta perlindungan daripada Raja Najasyi sehinggalah Allah membebaskan mereka semua daripada penderitaan ini. Saudah dan suaminya menyahut Sarranan ini. Mereka berlindung di Habsyah dan meniti hari yang tenang di bawah naungan iman.
Setenang manapun berada di tempat orang, tetap tak seindah berada di tanah air sendiri, tanah kelahiran seorang Nabi. Begitulah yang dirasakan oleh orang-orang Islam di Habsyah. Mereka kembali ke Makkah pada saat dakwah Islam masih hebat ditentang.
Penderitaan Saudah tak tertanggung lagi apabila suaminya dipanggil pulang menemui Ilahi. Sakran meninggal dunia di Makkah. Saudah memujuk diri bahawa kasih sayang Allah lebih besar berbanding kasih sayang suami terhadapnya. Wujudkah pengganti yang lebih baik untuk menempati tempat Sakran di hati? Saudah bingung sendiri.

Dilamar Lelaki Terbaik di Dunia

Saudah masih berendam air mata kerana ditinggalkan suami. Rasulullah SAW ketika itu juga dalam kesedihan kerana ditinggalkan isteri, Khadijah al-Khuwailid. Saudah mengetahui tingginya kedudukan Khadijah buat Nabi di dunia dan di akhirat.
Setelah pemergian Khadijah, tiada sahabat yang berani mencalonkan sesiapa untuk Rasulullah kerana mereka percaya tiada wanita sebaik Khadijah yang layak menemani Nabi. Hadirlah seorang sahabat wanita bernama Khaulah binti Hakim untuk menyenangkan hati Nabi dengan berbicara soal pernikahan.
Berkata Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Uthman bin Mazh’un,
“Wahai Rasulullah, tak nak kahwin lagi ke?”
Rasulullah bertanya semula,
“Dengan siapa?”
“Terpulanglah. Ada gadis dan ada janda,” jawab Khaulah.
“Jika gadis, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah.
“Puteri orang yang paling engkau cintai, Aisyah binti Abu Bakr,” jawab Khaulah. Rasulullah teringat akan mimpi-mimpinya yang dibawa oleh Jibril tentang gadis di balik selendang sutera iaitu Aisyah. Namun, Aisyah masih lagi seorang anak kecil ketika itu. Apapun, Aisyahlah gadis pertama yang hadir dalam impian Rasulullah selepas kewafatan Khadijah kerana diilhamkan sendiri oleh Allah SWT. Tidak hairanlah cinta baginda kepada Aisyah amat menebal. Yang pertama selalunya istimewa! Apatah lagi jika yang pertama itu beragama.
“Jika janda, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah lagi.
“Saudah binti Zam’ah. Dia telah beriman kepadamu dan mengikut ajaran agamamu,” jawab Khaulah. Rasulullah dapat menyelami betapa deritanya Saudah dikelilingi tekanan yang menyesakkan iman dan diuji pula dengan kematian suami. Rasulullah sangat simpati kepadanya. Ada keserasian dalam bentuk ujian, masing-masing ditinggalkan pendamping tercinta.
“Kalau begitu, pergilah dan sampaikan pinanganku kepada mereka berdua,” kata Rasulullah SAW. (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaaid, no. 15285, “Hadis ini diriwayatkan oleh At-Thabrani. Para perawinya adalah perawi kitab As-Sahih, kecuali Muhammad bin Amr bin Alqamah. Ia dinyatakan hasanul hadis.”)
Dalam riwayat Ahmad, dinyatakan bahawa Khaulah segera menemui Saudah dan ayahnya, Zam’ah. Ketika itu, Zam’ah sudah lanjut usia dan tidak dapat lagi menunaikan haji. Khaulah berkias,
“Kebaikan dan kebahagian seperti apakah ini yang telah Allah anugerahkan kepada kalian?”
Saudah berkerut kehairanan,
“Apa maksudmu?” Tanya Saudah.
Khaulah lantas menyampaikan berita gembira,
“Rasulullah SAW mengirimku untuk menemuimu dan menyampaikan lamarannya kepadamu.”
Hati Saudah berbunga-bunga lantas tumpahlah air mata keharuan. Tidak pernah terbayang baginya untuk mendapat kemuliaan sedemikian rupa. Ketika usianya sudah agak lanjut dan mempunyai susuk badan yang gemuk dan tidak menarik, masih ada yang sudi menyuntingnya. Apatah lagi lelaki itu ialah lelaki paling agung di muka bumi. Sudah tentu lelaki bernama Muhammad bin Abdullah jauh lebih mulia berbanding Sakran.
Saudah lantas menerima walaupun sedar Rasulullah melamarnya semata-mata atas dasar kasihan. Setelah menerima restu ayah, datanglah Rasulullah kepada Saudah, melangsungkan akad nikah dengan mahar berjumlah 400 dirham. (Rujuk Majma’uz Zawaid, no. 15786).

Cara Saudah Mengikat Hati Suami Terhadapnya

Saudah menjadi wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah SAW setelah kewafatan Khadijah. Beliau menjadi satu-satunya isteri yang menemani hidup Nabi selama tiga tahun sebelum hadirnya Aisyah. Di saat kita pada hari ini berangan-angan ingin bermimpikan Rasulullah, Saudah dapat tidur di sisi Nabi dan berbincang-bincang dengannya. Bukankah Saudah sangat bertuah?
Meskipun Saudah sedar siapalah dirinya berbanding Khadijah namun beliau sentiasa berusaha keras menjadi isteri yang terbaik buat Nabi. Beliau menceritakan saat-saat getir menghadapi tekanan-tekanan kaum musyrikin sehingga memancing simpati Nabi terhadapnya.
Beliau juga menceritakan hari-hari yang dilalui oleh puteri baginda Ruqayyah bersama suaminya, Utsman bin Affan selama tinggal di Habsyah. Ketika itu Ruqayyah dan Ustman masih menetap di Habsyah dan Rasulullah amat rindu kepada mereka. Saudah sedar Rasulullah amat senang mendengar berita tentang puterinya yang tersayang membuatkan Saudah rajin bercerita tentangnya.

Hijrah Kedua

Kekejaman musyrikin di Madinah memaksa orang-orang Islam berhijrah ke Madinah dengan izin Allah SWT. Setelah sebahagian besar sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah menyusul hijrah mereka. Kemudian baginda mengutuskan Zaid bersama pelayannya, Abu Rafi’ untuk menjemput wanita-wanita kesayangan Nabi ikut berhijrah. Bersama dua ekor unta dan wang 500 dirham, mereka menjemput Fatimah, Ummu Kulthum, Saudah binti Zam’ah, Ummu Aiman dan Usamah bin Zaid. (At-Tabaqaat, Ibnu Saad, vol.1, hlm. 237-238).
Saudah menetap di Madinah bersama Nabi SAW. Beliau reda apabila tak lama kemudian Rasulullah membina rumah tangga dengan Aisyah r.ha. Beliau tahu ianya kehendak Allah untuk kebaikan umat Islam sejagat. Aisyah menyukai Saudah sehingga terdapat banyak kisah menarik antara mereka berdua.

Mengutamakan Aisyah Demi Merebut Simpati Nabi

Saudah sedar, psikologi Aisyah yang masih muda sudah tentu lebih memerlukan cinta dan kasih suami. Saudah juga tahu Aisyah adalah isteri yang paling dicintai Nabi setelah Khadijah. Demi menyenangkan hati Nabi, beliau dengan setulus hati sanggup menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah. Lagipun beliau sudah semakin tua dan uzur.
Rasulullah SAW pernah berniat menceraikan Saudah kerana berlaku adil amatlah payah. Perlukan kerja keras. Namun Saudah takut tidak terpilih menjadi isteri Nabi di akhirat maka beliaupun merayu,
“Biarkan dinda terus menjadi isterimu. Demi Allah! Dinda tidak akan menuntut sebagaimana isteri-isterimu yang lain. Namun dinda ingin dibangkitkan Allah menjadi isterimu kelak di hari kiamat.”
Saudah menawarkan lagi bagi menyenangkan hati Rasulullah,
“Wahai Rasulullah, dinda hendak memberikan hari giliran dinda kepada Aisyah.”
Rasulullah lantas menerimanya.
Aisyah menyanjungi Saudah. Beliau berkata,
“Aku tidak pernah menemui seorang wanita yang lebih kusukai jika diriku menjadi sepertinya selain Saudah binti Zam’ah. Seorang wanita yang kekuatan jiwanya luar biasa.”
Malah, Aisyah begitu cemburu dengan kesegeraan Saudah dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Malah Saudah sentiasa berusaha menunjukkan ketaatannya kepada Allah dan Rasulullah. Selain itu, Saudah sangat dermawan dan murah hati.

Kenangan Terindah

Pertanyaan Saudah kepada Rasulullah SAW pada suatu hari pernah mendapat jawapan daripada tujuh petala langit. Ia berkenaan tentang isteri Rasulullah ingin keluar rumah selama ada keperluan. Hal ini meninggalkan kenangan terindah buatnya. Masakan tidak, Allah menurunkan wahyu untuk merungkaikan masalah yang sama hingga hari kiamat.
Aisyah r.a menuturkan, “Saudah binti Zam’ah pernah keluar rumah pada malam hari. Umar melihatnya dan segera mengenalnya, maka ia berkata, “Demi Allah! Kau pasti Saudah. Kami sudah mengenalmu.” Saudah merasa tidak sedap hati sehingga dia segera menemui Rasulullah SAW yang saat itu sedang makan malam di rumahku dan tangannya sedang memegang tulang yang nyaris habis dagingnya. Tidak lama kemudian, Allah menurunkan wahyu yang membenarkan tindakan Saudah. Rasulullah SAW berkata, “Allah telah mengizinkan kalian keluar rumah selama ada keperluan.” (Muttafaqun Alaih).
Alhamdulillah, dengan keringanan ini, maka kita semua para wanita dapat keluar rumah dengan adanya keperluan seperti berkerjaya, menuntut ilmu, membeli keperluan rumah dan sebagainya.
Di akhir masa pemerintahan Umar RA, bonda kita Saudah menutup mata untuk selamanya.

-ustzh fatimah syarha-

Monday, May 2, 2011

Mus'ab bin Umair


Mari mengenal Mus'ab bin umair..
hee, bukan cik mus'ab a.k.a ummi mus'ab masterskill~~
Mus'ab bin umair ni sahabat nabi yang cukup popular ^_-
Kalau dah pernah dengar, xpela..refresh balik yaa..
Smoga kisah ini meniupkan semangat kita untuk terus setia berjuang di jalan ini..jalan yang penuh liku2..jalan yang x mudah..kerna itu, syurga adalah bayarannya..

***



Musab bin Umair adalah sahabat rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Musab telah menganut Islam.

Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Musab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya.

Bukit Uhud

Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

***

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

Dan kita? Ditaraf mana kecintaan kita pada Allah dan rasul? Setakat ni, x jumpa lagi la berhala kat dalam rumah ke arak ke..or kalau kita buat baik, belum lagi la sampai tahap diseksa ke..dibunuh jauh sekali! Kita hanya berperang dengan nafsu..dengan diri..dengan syaitan..Wahai diri, wahai sahabat..jadilah seperti mus'ab, once dapat hidayah, berubah 360 degree..x ada lagi melihat ke belakang..


Friday, March 18, 2011

hebatnya cinta zinnirah!


Mari recall kembali seorang sahabiah bernama zinnirah..

Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternila bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam memepertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda.

Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah. Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. Beliau telah menerima dengan sepenuh hati.

Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meniggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum keislamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.w. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anaknya perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalh rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.


Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya. "Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan."

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. Hatinya dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi. Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.


Friday, February 18, 2011

Abu Dzar al-Ghifari

Mari mengenal abu dzar al-ghifari :)



Mungkin dah ramai tahu tentang kisah bagaimana abu dzar mengenal islam, tapi bagi saya slaku budak baru belajar, kisah ni amat menyetuh hati. Berkali2 baca pun x mengapa. Betapa tingginya keyakinan dan keteguhan iman abu dzar yang pada ketika itu BARU mengenal islam.

Jom sama2 ambil iktibar dari kisah ini :)

Abu Dzar al-Ghifari merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan perbendaharaan ilmu pengetahuannya dan kesolehannya. Ali RA berkata mengenai Abu Dzar RA: “Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi dari orang lain.”

Ketika dia mulai mendengar khabar tentang kerasulan Nabi SAW, dia telah mengutus saudara lelakinya menyelidiki lebih lanjut mengenai orang yang mengaku menerima berita dari langit. Setelah puas menyelidiki, saudaranya pun melaporkan kepada Abu Dzar bahawa Nabi Muhammad SAW itu seorang yang sopan santun dan baik budi pekertinya. Ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia bukannya puisi dan bukan pula kata-kata ahli syair.

Laporan yang disampaikan itu masih belum memuaskan hati Abu Dzar. Dia sendiri keluar untuk mencari kenyataan. Setibanya di Makkah, dia terus ke Baitul Haram. Pada waktu itu dia tidak kenal Nabi SAW, dan melihat keadaan pada waktu itu dia merasa takut hendak bertanya mengenai Nabi SAW. Ketika menjelang malam, dia dilihat oleh Ali RA. Oleh kerana ia seorang musafir, Ali terpaksa membawa Abu Dzar ke rumahnya dan melayani Abu Dzar sebaik-baiknya sebagai tamu. Ali tidak bertanya apa pun dan Abu Dzar tidak pula memberitahu Ali tentang maksud kedatangannya ke Makkah. Pada keesokkan harinya, Abu Dzar pergi sekali lagi ke Baitul Haram untuk mengetahui siapa dia Muhammad. Sekali lagi Abu Dzar gagal menemui Nabi kerana pada waktu itu orang-orang Islam sedang diganggu hebat oleh orang-orang kafir musyrikin. Pada malam yang keduanya, Ali membawa Abu Dzar ke rumahnya.

Pada malam itu Ali bertanya: “Saudara, apakah sebabnya saudara datang ke kota ini?”

Sebelum menjawab Abu Dzar meminta Ali berjanji untuk berkata benar. Kemudian dia pun bertanya kepada Ali tentang Nabi SAW. Ali berkata: “Sesungguhnya dia lah pesuruh Allah. Esok engkau ikut aku dan aku akan membawamu menemuinya. Tetapi awas, bencana yang buruk akan menimpa kamu kalau hubungan kita diketahui orang. Ketika berjalan esok, kalau aku dapati bahaya mengancam kita, aku akan berpisah agak jauh sedikit dari kamu dan berpura-pura membetulkan sepatuku. Tetapi engkau terus berjalan supaya orang tidak curiga hubungan kita.”

Pada keesokkan harinya, Ali pun membawa Abu Dzar bertemu dengan Nabi SAW. Tanpa banyak tanya jawab, dia telah memeluk agama Islam. Kerana takut dia diapa-apakan oleh musuh, Nabi SAW menasihatkan supaya cepat-cepat balik dan jangan mengkhabarkan keislamannya di khalayak ramai. Tetapi Abu Dzar menjawab dengan berani: “Ya Rasullulah, aku bersumpah dengan nama Allah yang jiwaku di dalam tanganNya, bahawa aku akan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kafir-kafir musyrikin itu.”

Janjinya kepada Rasulullah SAW ditepatinya. Selepas ia meninggalkan baginda, dia mengarah langkah kakinya ke Baitul Haram di hadapan kaum musyrikin dan dengan suara lantang dia mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”

Tatkala mendengar ucapan Abu Dzar itu, orang-orang kafir pun menyerbunya lalu memukulnya. Kalau tidak kerana Abbas, bapa saudara Nabi yang ketika itu belum Islam, tentulah Abu Dzar menemui ajalnya di situ.

Kata Abbas kepada orang-orang kafir musyrikin yang menyerang Abu Dzar: “Tahukah kamu siapa orang ini? Dia adalah keturunan Al Ghifar. Khafilah-khafilah kita yang pulang pergi ke Syam terpaksa melalui perkampungan mereka. Kalaulah ia dibunuh, sudah tentu mereka menghalangi perniagaan kita dengan Syam.”

Pada hari berikutnya, Abu Dzar sekali lagi mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan orang-orang kafir Quraisy dan pada kali ini juga ia telah diselamatkan oleh Abbas.

Keghairahan Abu Dzar mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan kafir Quraisy sungguh-sungguh luar biasa jika dikaji dalam konteks larangan Nabi SAW kepadanya. Apakah dia boleh dituduh telah mengingkari perintah Nabi? Jawabannya tidak. Dia tahu bahawa Nabi SAW sedang mengalami penderitaan yang berbentuk gangguan dalam usahanya ke arah menyebarkan agama Islam. Dia hanya hendak menunjukkan Nabi SAW walaupun ia mengetahui, dengan berbuat demikian dia melibatkan dirinya dalam bahaya. Semangat keislamannya yang beginilah yang telah menjadikan para sahabat mencapai puncak keimanan dalam alam lahiriyah serta batiniyah.

Keberanian Abu Dzar ini selayaknya menjadi contoh kepada umat Islam dewasa ini dalam rangka usaha mereka menjalankan dakwah Islamiyah. Kekejaman, penganiyaan serta penindasan tidak semestinya boleh melemahkan semangat mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah.